Uncategorised

Sokongan Malaysia terhadap Palestin tak gugat perdagangan, keselamatan negara – Mohamad Hasan

Oleh: Muhammad Yusri Muzamir

KUALA LUMPUR: Pendirian negara menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai penyelesaian dua negara Palestin-Israel tidak menghalang Malaysia memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan rakan dagang utama.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan itu tidak memberikan indikasi yang ia menimbulkan ancaman secara langsung terhadap keselamatan dalam negeri, setakat ini.

Mengakui sebahagian rakan dagang memiliki pandangan berbeza, beliau bagaimanapun menegaskan Malaysia komited mengekalkan kerjasama ekonomi dan pelaburan demi kepentingan bersama, kestabilan serantau dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, kementerian bersama agensi keselamatan negara juga sentiasa memantau dan berwaspada terhadap kemungkinan risiko dari luar seperti serangan siber, propaganda atau cubaan pihak tertentu menjejaskan kestabilan negara.

“Bagi tujuan ini, langkah pencegahan termasuk pengukuhan keselamatan siber serta kerjasama pertahanan dan keselamatan antara Malaysia dengan negara sahabat terus dipertingkatkan bagi memastikan kestabilan dan keselamatan negara terpelihara.

“Berdasarkan maklumat dan statistik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula, tiada rekod rasmi menunjukkan pengenaan tarif tambahan, sekatan perdagangan atau langkah ekonomi khusus terhadap Malaysia ekoran daripada pendirian ini.

“Malah, data eksport dan import menunjukkan perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama yang memiliki hubungan rapat dengan Israel seperti Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah kekal stabil sepanjang tempoh 2020 hingga 2024.

“Trend positif ini berterusan walaupun Malaysia semakin lantang bersuara dalam isu Palestin, terutama selepas tercetusnya konflik di Gaza pada 2021 dan 2023,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohamad (BN-Simpang Renggam) mengenai kesan terhadap keselamatan dan ekonomi negara susulan pendirian kerajaan menyokong resolusi PBB bagi pembentukan dua negara Palestin-Israel.

Mohamad menegaskan, pendirian Malaysia dalam isu Palestin turut meningkatkan kredibiliti negara di peringkat antarabangsa, selain ia berpotensi membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang perdagangan tenaga, pelaburan halal, makanan dan teknologi, sekali gus mengukuhkan kepentingan strategik dan ekonomi Malaysia.

Katanya, Malaysia sentiasa berpegang teguh kepada prinsip keamanan sejagat dan secara konsisten menegaskan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dengan sokongan dizahirkan melalui kenyataan rasmi di PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN, NAM, G20, BRICS dan forum antarabangsa lain.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, ini berdasarkan prinsip kemanusiaan, keadilan sejagat serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.

“Malaysia dan Palestin baru-baru ini, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Perdagangan dan Kerjasama Ekonomi bagi memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara yang menjadi asas kepada kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang antara Malaysia-Palestin.

“Ini termasuk dalam sektor perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi, menyumbang kepada aspirasi pembangunan dengan semangat solidariti dan kemakmuran.

“Kerajaan akan terus memantau rapat perkembangan semasa dan mengambil tindakan proaktif bagi memastikan kelangsungan ekonomi, keselamatan negara serta hubungan perdagangan sihat dengan negara berkepentingan,” katanya.

Sumber : https://www.buletintv3.my/nasional/sokongan-malaysia-terhadap-palestin-tak-gugat-perdagangan-keselamatan-negara-mohamad-hasan/

Show More

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button