
BN Ranau Mahu Isu Asas Rakyat Diselesaikan Sebelum Projek Pekan Baharu Paginatan Dilaksana
Ranau, 14 Ogos – Barisan Nasional (BN) Ranau menegaskan bahawa isu-isu asas rakyat perlu diberi keutamaan sebelum kerajaan merancang pembangunan berskala besar seperti Projek Pekan Baharu Paginatan.
Pengerusi BN P.179 Ranau, Datuk Junaidi Sahat, berkata pihaknya tidak menolak pembangunan, malah mengakui banyak infrastruktur di daerah itu merupakan warisan pentadbiran BN. Namun, beliau mempersoalkan pengumuman projek baharu yang masih belum mempunyai bajet diluluskan, status tanah yang jelas atau garis masa pelaksanaan.
“Projek ini sudah diumum seolah-olah akan dimulakan segera, sedangkan maklumat asasnya tidak didedahkan. Rakyat mahu tahu sejauh mana keseriusan pelaksanaan, di mana lokasinya, dan bila mereka akan menikmatinya,” katanya.
Beliau menambah, sementara projek mega dibincangkan, masalah asas rakyat masih tidak diselesaikan, termasuk jalan pertanian yang rosak, jambatan uzur, lereng sungai yang terbiar hingga menyebabkan banjir, balai raya usang, dewan masyarakat retak, serta kemudahan sukan yang semakin tidak berfungsi.
Junaidi turut menolak pendekatan politik yang mengaitkan sokongan rakyat dengan kelancaran projek pembangunan.
“Demokrasi bukan urus niaga bersyarat. Pembangunan adalah amanah yang mesti dijalankan oleh sesiapa sahaja yang memegang kuasa, bukan gula-gula bermusim menjelang pilihan raya,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Ranau, sebagai hab pelancongan Sabah, berdepan isu mendesak seperti kesesakan lalu lintas, kekurangan parkir, dan bekalan air yang pernah dijanjikan selesai pada Ogos, sehingga kini masih banyak rungutan timbul.
“Jika janji bulan lepas pun gagal disempurnakan, apatah lagi janji untuk 10 atau 20 tahun akan datang,” katanya.


