Sabah

SPRM DIDESAK JELAS ISU VIDEO DAKWA LIBAT PEMIMPIN PBS

SANDAKAN, 23 Okt – Ketua Penerangan BNCom Libaran, Shariff Ismarhafiz Sh Abd Rahman, menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera memberi penjelasan berhubung video tular yang didakwa melibatkan dua pemimpin tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Jahid Jahim.

Beliau berkata, sikap berdiam diri SPRM terhadap isu berkenaan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat Sabah sama ada siasatan telah dimulakan atau tidak.

“Kenyataan rasmi SPRM amat dinantikan rakyat Sabah. Namun, hingga kini tiada sebarang penjelasan diberikan, sekali gus menimbulkan persepsi bahawa isu rasuah dalam politik negeri ini sudah menjadi terlalu sistematik dan seolah-olah tidak lagi mengejutkan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shariff menegaskan bahawa prinsip ketelusan dan akauntabiliti mesti ditegakkan tanpa mengira pangkat, parti atau kedudukan dalam kerajaan. Beliau menambah, undang-undang tidak boleh dijadikan alat politik yang hanya bertindak apabila melibatkan pihak lawan, tetapi membisu apabila membabitkan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Sikap berdiam diri seperti ini hanya menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti SPRM sebagai institusi bebas. Keadilan bukan sahaja mesti ditegakkan, ia juga mesti dilihat ditegakkan,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar SPRM tampil memberi penjelasan terbuka mengenai status siasatan kes itu dan menegaskan bahawa ketelusan hanya dapat dicapai melalui tindakan, bukan keheningan.

“Jika benar tiada salah laku, maka biarlah siasatan membuktikan demikian. Namun, diam tanpa tindakan hanya mengundang persepsi bahawa wujud ‘lapisan pelindung politik’ terhadap individu tertentu,” katanya.

Menurutnya, rakyat Sabah kini semakin matang dan tidak lagi mudah diperdaya dengan slogan integriti tanpa tindakan nyata.

Shariff turut menegaskan bahawa kegagalan SPRM bertindak tegas dan adil bukan sahaja menjejaskan reputasi agensi itu, malah menggugat kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan dan demokrasi negara.

Show More

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button