
RM20 Bilion RTB: Kg Sapagaya Mesti Jadi Keutamaan Dalam RMK-13

Lahad Datu, 14 Ogos – Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian Lahad Datu, Ernawati Rafael, menggesa kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada Kampung Sapagaya dalam pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menurutnya, RMK-13 telah memperuntukkan RM20 bilion untuk melaksanakan 103 projek RTB di seluruh negara, termasuk di Sabah, yang melibatkan pembaikan sistem perparitan, pengukuhan tebing sungai dan pengurusan aliran air.
“Kg Sapagaya sudah terlalu lama terdedah kepada risiko bencana banjir, malah kerap mengalami banjir kilat setiap kali hujan lebat atau fenomena air pasang besar. Kejadian terburuk pada Januari 2023 menyaksikan paras air hampir mencecah rumah bertiang tinggi, menjejaskan ratusan penduduk, memusnahkan harta benda dan memaksa ramai berpindah sementara,” katanya.
Beliau menegaskan, masalah banjir di Kg Sapagaya bukan sekadar isu teknikal tetapi krisis kemanusiaan yang mengancam keselamatan, kesihatan dan sumber pendapatan penduduk, khususnya nelayan serta pekebun kecil.
Ernawati turut menghargai peranan pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan agensi penyelamat yang sentiasa bersiap siaga membantu mangsa banjir. Namun katanya, tindakan jangka panjang melalui projek tebatan banjir adalah keperluan mendesak, bukan pilihan.
“RMK-13 mesti menjadi momentum penyelesaian, bukan sekadar dokumen di atas kertas. Penduduk berhak hidup tanpa rasa cemas setiap kali hujan turun,” tegasnya.
Kg Sapagaya sebelum ini telah disenaraikan dalam pelan mitigasi banjir Lahad Datu, bersama beberapa kawasan lain seperti Segama, Jalan Pancuran dan Taman Khazanah Indah, yang turut berdepan banjir berulang setiap tahun.



