Sabah

5 Tahun Gagal Selesai Isu Asas, Hajiji Hanya Mampu Hidang Gimik Pecah Tanah

KINABATANGAN, 16 Ogos – Ketua Penerangan BNcom Pemuda Kinabatangan, Mohd Fazirul Sulaiman menyifatkan majlis pecah tanah yang dilakukan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai gimik politik hujung penggal yang tidak mampu menutup kelemahan pentadbiran sepanjang hampir lima tahun.

“Seperti pepatah, menutup bangkai dengan nyiru, baunya tetap terhidu. Hajiji boleh pecah tanah setiap hari kalau mahu, tetapi rakyat tetap nampak kegagalan sepanjang pemerintahannya. Rakyat Sabah tidak akan tertipu dengan gimik murahan menjelang pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pentadbiran Hajiji dilihat gagal menyelesaikan isu asas rakyat termasuk bekalan air yang tidak menentu, gangguan elektrik, kos sara hidup yang semakin menghimpit serta kadar pengangguran yang masih kekal tertinggi di negara ini.

Beliau turut menegaskan pentadbiran GRS kini berdepan krisis integriti berikutan skandal rasuah yang melibatkan pemimpin gabungan itu.

“Bagaimana rakyat mahu percaya kepada janji pembangunan, sedangkan kepimpinan sendiri gagal membersihkan nama daripada skandal dan salah guna kuasa?” soal beliau.

Fazirul menambah, ketika bayangan pilihan raya semakin hampir, Hajiji mula tampil dengan janji pembangunan dan majlis pecah tanah, namun rakyat melihatnya sebagai pancing undi semata-mata.

“Ini bukan pembangunan, ini adalah helah pilihan raya. Suara rakyat di media sosial jelas menunjukkan kritikan mengatasi pujian. Rakyat sudah muak dengan gimik politik yang hanya muncul menjelang pilihan raya tetapi gagal ketika mereka benar-benar memerlukan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, rakyat kini menuntut penyelesaian nyata, pentadbiran konsisten dan kerajaan yang stabil.

“Hajiji boleh cuba menutup kegagalan, tetapi isu asas rakyat dan skandal rasuah pemimpin GRS sudah lama dihidu serta dinilai rakyat,” katanya.

Show More

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button