BNCom Persoal Ke Mana Pergi Hasil Berbilion Ringgit Hasil Minyak Sabah
TAWAU, 23 Okt – Ketua Penerangan BNCom Kalabakan, Muhammad Faizul Mustapa, mempersoalkan ke mana perginya hasil berbilion ringgit daripada sektor minyak dan gas Sabah yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dalam menyelesaikan krisis air yang semakin meruncing di negeri itu.
Beliau berkata, menurut laporan, kontraktor minyak dan gas Sabah menikmati projek bernilai RM2 bilion tahun lalu hasil kerjasama antara Petronas dan SMJ Energy, namun rakyat masih berdepan masalah bekalan air yang berlarutan.
“Jika benar negeri mendapat manfaat sebesar itu, kenapa krisis air Sabah semakin kritikal, bukan semakin pulih? Kenapa tiada peruntukan kecemasan besar-besaran untuk menaik taraf loji, paip dan empangan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Faizul menegaskan, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor tidak boleh terus berlindung di sebalik angka dan projek mega yang hanya indah di atas kertas.
“Hakikatnya, RM2 bilion hasil minyak tetapi rakyat masih bergelut mencari air. Lebih ironik, pentadbiran yang kononnya berjuang menuntut hak Sabah di bawah MA63 kini gagal menunaikan hak paling asas iaitu hak rakyat untuk mendapat bekalan air bersih,” ujarnya.
Menurutnya, rakyat tidak menolak kejayaan sektor minyak dan gas, namun hasilnya mesti sampai kepada rakyat, bukan hanya berpusing dalam kalangan kroni atau syarikat besar.
“Jika kontrak berbilion mampu diagih kepada syarikat besar, mengapa tidak boleh diagih sedikit untuk memperbaiki sistem air yang menjadi nadi kehidupan rakyat?” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah bukan negeri miskin sumber, tetapi miskin kerana kegagalan kerajaan GRS mengurus kekayaan negeri dengan amanah.
“Sabah tidak perlukan pemimpin yang pandai kira angka tetapi gagal urus amanah,” tegasnya.


