Sabah

Gesaan Segerakan Kelulusan Hak Milik Tapak Rumah Generasi Kedua Felda

LAHAD DATU, 13 Ogos — Ketua Penerangan Puteri UMNO Bahagian Lahad Datu, Masrima binti Masrih @ Cosmas, menggesa kerajaan negeri segera meluluskan hak milik tapak rumah kepada generasi kedua Felda melalui pewartaan khas dan proses pantas tanpa birokrasi berlebihan.

Beliau berkata langkah tersebut merupakan kunci menyelesaikan masalah perumahan yang telah berlarutan bertahun-tahun, khususnya melibatkan warga Felda Sahabat di Lahad Datu dan Felda Umas di Tawau.

“Ramai anak Felda masih tidak memiliki tanah atau rumah pertama. Keadaan ini memaksa mereka merantau meninggalkan tanah kelahiran untuk mencari peluang hidup di tempat lain. Dengan kelulusan hak milik tapak rumah, mereka dapat membina kediaman sendiri, mengekalkan ikatan komuniti, dan menghidupkan semula ekonomi setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Masrima, pelaksanaan Skim Perumahan Generasi Kedua Felda akan membentuk komuniti Felda moden yang selesa, dilengkapi kemudahan asas dan peluang ekonomi lebih luas.

Beliau turut menegaskan keyakinannya bahawa jika BN Sabah kembali mentadbir, komitmen politik dan keberanian membuat keputusan akan memastikan isu perumahan generasi kedua Felda menjadi realiti, bukan sekadar janji.

Show More

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button