Sabah

Ketua Menteri Wajar Saman Albert Tei, Jangan Bersembunyi Di Sebalik Diam

KOTA KINABALU, 24 Okt — Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kota Kinabalu, Mohammad Azmi Amir Husin, mencabar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan Albert Tei susulan dakwaan serius yang dilemparkan terhadap beliau baru-baru ini.

Menurut Azmi, tuduhan berkenaan bukan isu kecil kerana ia melibatkan soal integriti, salah guna kuasa, dan kejujuran yang menjadi asas kepimpinan sesebuah kerajaan.

“Sebagai pemimpin nombor satu Sabah, Hajiji mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk menjawab tuduhan tersebut. Mengapa selepas pembubaran DUN, beliau masih memilih untuk berdiam diri dan tidak berani mengambil tindakan undang-undang jika tuduhan itu tidak benar?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, dalam era politik yang menuntut ketelusan, sikap berdiam diri bukan lagi pilihan, malah boleh ditafsir sebagai tanda ketakutan atau pengakuan senyap.

“Kalau benar beliau bersih, samanlah Albert Tei. Jangan sekadar bersembunyi di sebalik alasan ‘tidak mahu melayan fitnah’. Tuduhan yang mencalar maruah dan nama baik seseorang pemimpin menuntut tindakan, bukan alasan,” tegasnya.

Azmi turut menyifatkan keberanian menghadapi cabaran sebagai ukuran sebenar kepimpinan, dan bukan sekadar retorik politik semasa berkempen.

“Rakyat Sabah tidak perlukan pemimpin yang hanya pandai berpidato tentang kejujuran, tetapi kecut bila tiba masa membuktikan kebenaran. Seorang pemimpin sejati berani berdepan dengan bukti,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mencabar Hajiji untuk menyaman Albert Tei tanpa berlengah, bagi membersihkan nama dan membuktikan keikhlasan beliau di mata rakyat.

“Jika tidak, beliau harus menjawab kepada rakyat Sabah adakah diamnya itu tanda berani, atau tanda bersalah?” soal Azmi.

Show More

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button